top of page
Search

Kalau bukan kerana kampung kita

Updated: Nov 23, 2022

Kalau bukan kerana kampung kita, adalah kita akan memahami ertinya hidup bermasyarakat? Hidup di kampung tidak boleh dipisahkan dengan adat bergotong-royong. Tetapi, apakah sebenarnya makna gotong-royong?


Apabila sebatang pokok besar tumbang memusnahkan sebua rumah, orang kampung akan berganding bahu untuk memperbaiki dan membina semula rumah itu walaupun rumah tersebut bukanlah milik mereka. Itulah gotong-royong.


Apabila kemarau mengeringkan air perigi satu per satu, orang kampung yang masih mempunyai mata air, walaupun semakin kurang, tetap akan menawarkan air perigi mereka bagi yang lain yang lebih memerlukan air. Itulah gotong royong.


Apabila dalam kalangan mereka yang akan melangsungkan majlish perkahwinan, seluruh kampung akan menyingsing lengan merewang semalaman; kaum wanita akan menghias pelamin dan barang hantaran dan sebilangan lagi sibuk menyediakan bahan-bahan untuk jamuan. Kaum lelaki pula akan sibuk menolong di dapur dan sebahagian lagi akan membantu membina khemah, mengatur meja dan kerusi panjang.


Keesokannya, segala penat-lelah digantikan dengan kemeriahan orang kampung yang dapat menjamu selera besar-besaran dan meraikan hari bahagia raja dan permaisuri sehari itu. Itulah gotong-royong.


Gotong-royong merupakan kepercayaan asas yang menyatukan demi kebaikan dan kemajuan sesuatu masyarakat; di mana kita bukan sahaja kongsi beban dan cabaran, tetapi meraikan kebahagiaan dan kejayaan masing-masing, bersama-sama.


Hidup mandiri mencukupi, tetapi hidup berkampung melengkapi.


Hidup berkampung juga mengajar kita menghargai nilai-nilai murni seperti rajin berusaha, sebagaimana burung terbang pagi mencari rezeki dalam keadaan lapar dan kembali petang hari dalam keadaan kenyang.


Begitulah sifat Orang Pulau; yang meneroka hutan bakau apabila air laut surut. Biarpun lumpur sedalam paras betis, mahupun kulit kaki terluka dicucuk akar-akar pohon bakau, Orang Pulau terus menyusur kuala sungai untuk berkarang, mencari kehidupan laut seperti siput sedut, siput timba, dan ibau untuk dimakan. Selagi air masih surut, Orang Pulau akan membongkok dan mencangkung demi mengutip rezeki dari laut untuk dimasukkan ke dalam bakul yang dipikul.


Apabila air mula pasang, mereka akan sibuk ke laut untuk menerbar jala, menyusun jaring, melempar joran dan memasang bubu untuk menangkap ikan; atau sibuk di hutan untuk mengutip cendawan dan kayu api; atau sibuk berkebun sayur-mayur dan buah-buahan di kawasan rumah masing-masing. Inilah usaha dan rezeki buat orang-orang kampung.


Tetapi betapa malangnya, kampung buat masyarakat Orang Pulau di Singapura sudah tiada lagi. Semua kampungnya telah lenyap demi pembangunan negara dan integrasi sosial, ditelan dek proses pembandaran dan pemodenan. Semua kampung kecuali satu di Pulau Ubin; pulau datuk nenek moyang saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu jangka masa kampung kita akan kekal berdiri.


Saya yakin, seandainya kampung di Ubin mengalami nasib yang serupa seperti kampung di pulau lain seperti di Ayer Chawan, Ayer Merbau, Blakang Mati, Brani, Bukom, Merlimau, Pesek, Sekijang Bendera, Sekijang Pelepah, Seking, Semakau, Seraya, Sudong, Tekong Besar dan Tekong Kechil, saya masih percaya satu nilai fitrah yang tidak akan lenyap ditelan zaman ialah semangat waja dan silaturrahim Orang Pulau dan keturunan mereka dalam mengharungi cabaran gelombang perubahan dan pemodenan.


Kalau bukan melalui perkongsian warisan datuk moyang kita, sudah tentu naratif dan kisah-kisah ini terkubur bersama mereka. Kalau bukan kerana usaha keturunan mereka untuk mendokumentasikan dan berkongsi kisah-kisah ini dengan orang lain, warisan kita akan mati bersama kita.


Seandainya takdir mencatat kampung terakhir masyarakat Orang Pulau Singapura punah, sekurang-kurangnya cerita, sejarah, adat, agama, budaya, bahasa, dan masyarakatnya akan senantiasa kekal kerana usaha gigig kita untuk mengharumkan kembali nama pulau-pulau kita.


Pulau-pulau kita bukanlah tempat beriadah sahaja, bukan kawasan latihan tentera, tapak pelupusan sampah atau hab petrokimia, tetapi tempat tumpah darah, mencari dan berkongsi rezeki bagi masyarakat Orang Pulau Singapura.


Sesungguhnya, Singapura bukanlah sebuah pulau yang dijadikan negara, tetapi sebuah negara yang terdiri daripada beberapa kepulauan.


Biarpun cuaca terik dek panas matahari,

Mahupun dibadai hujan ribut nan taufan;

Anak pulau ini masih berdayung.


Biarpun ombak ganas bergelora,

Mahupun arus semakin deras dan laju;

Anak pulau ini masih berdayung.



Catatan ini ditulis khas sempena acara "Jika Kalau" di Singapore Writers Festival 2022.

This writing is made specially for the "Jika Kalau" series in Singapore Writers Festival 2022 and is originally presented in the Malay language. The English version can be found here.

11 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page